Monday, April 9, 2012

Benchmarks



Bukan saya untuk mengadili dan menghakimi, tapi pada pandangan saya, individu2 dalam masyarakat kini bangga menjadi diri mereka sendiri. "Inilah diriku seadanya". Saya tak mengatakan ia sesuatu yang tidak baik. Yang menjadi masalah adalah apabila kita berasa cukup dengan diri kita yang sebegini dan berasa bangga pula. Kita terima. Kita redha. Kemudian kita meminta orang lain pula terima kita sebegini, sebab kita sudahpun menerima diri kita sebegini.

Cukupkah diri kita yang sering berkasar bahasa, tidak mempeduli, mengutamakan kebahagiaan diri sendiri,  untuk layak berbahagia di syurga Allah? Apakah akhlak kita yang tersedia ada memang "syurga-material"? Kita sendiri sudah sedar diri kita tidak sempurna, jadi ke tahap ini sajakah usaha untuk perbaiki diri kita?

Pada pendapat saya, salah satu punca masalah akhlak individu adalah kurangnya mengambil contoh daripada zaman kegemilangan yang lalu, khususnya pada waktu kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.. Ramai daripada kalangan kita menjadikan tokoh2 terkenal kerana pencapaiannya, tetapi berapa ramaikah daripada kita yang mengambil tokoh2 kerana akhlaknya?

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang terbaik (qudwah hasanah) bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah. 33:21

Zaman kemunculan Islam telah melahirkan generasi terhebat dalam sejarah ketamadunan arab. Diketuai oleh qudwah hasanah kita, mereka telah membina akhlak2 yang hebat, selari dengan ajaran dan kehendak Allah dan rasul. Mereka sanggup membuat apa saja, termasuk membuang arak2 mereka, dengan pantas memakai hijab dan menutup aurat mereka, menghulur air kepada sahabat lain walaupun dirinya sangat haus, dan lain2 lagi penonjolan akhlak murni yang luar biasa.

Saya bukanlah mengharap akan melihat perkara2 sebegitu pada zaman ini, tapi apa yang kita patut ambil iktibar adalah peribadi mereka. Setajam-tajam lidah Abu Dzar, dia sanggup membuang egonya dan meminta kepalanya dipijak oleh Bilal, kerana cintanya kepada Allah dan rasul, dan kerana dia telah menghina sahabatnya.

Walaupun kita tahu kita takkan jadi sehebat rasul yang menjadi Habibullah manusia yang terbaik, janganlah pula berputus asa dan tidak mahu untuk menjadi sepertinya. Setidak-tidaknya pun, ambil sahabat2nya yang mulia menjadi "benchmark" kita. Kerana apabila kita tiada hala tuju atau benchmark, berputar-putarlah kita dalam bulatan sendiri sambil bohong kepada diri bahawa kita ini sudah mencapai tahap terbaik yang kita mampu.

Telanlah ego. Anda tidak sempurna.
لبيك اللهم لبيك